Oleh: Tyah Helmi
IPOH: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia dalam satu tragedi kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan peronda Polis bersama kereta dipandu ibunya di Jalan Ipoh-Lumut pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan, nahas yang berlaku kira-kira 3.30 petang itu menyebabkan kanak-kanak, yang dikenali sebagai Chong Zee Han cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia pada 4.32 petang ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta pasukan jenis Honda Civic dan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang datang dari arah bertentangan dipercayai telah hilang kawalan secara tiba-tiba lalu menyebabkan pelanggaran berlaku,” katanya.
Akibat daripada kemalangan itu, dua anggota polis yang menaiki kereta pasukan serta ibu kepada kanak-kanak mengalami kecederaan dan telah dibawa ke HRPB bagi mendapatkan rawatan.
Difahamkan, mayat kanak-kanak tersebut telah dibawa ke unit HRPB Ipoh bagi tujuan bedah siasatan yang akan dijalankan pagi esok.
Dalam pada itu, polis telah menahan kedua-dua kenderaan untuk pemeriksaan Puspakom serta mengesan rakaman papan pemuka ‘dashcam’ serta saksi bebas bagi membantu siasatan.
Katanya lagi, setakat ini tiada tangkapan yang dibuat dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk mempunyai maklumat berkaitan nahas itu dan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor, Sabrina Anita Abd Samat di talian 05-2451537.
“Pihak Polis merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dan menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama,” ujarnya.
Baca juga:








