Kanak-Kanak Setahun Maut Digigit Anjing

SUNGAI BULOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan maut dalam insiden menyayat hati selepas dipercayai digigit beberapa ekor anjing liar di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor, mangsa dibawa ke Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh oleh ibu bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 8.40 pagi.

“Doktor telah melakukan bantuan pernafasan (CPR) namun mangsa tidak memberi tindak balas dan disahkan meninggal dunia pada pukul 9.14 pagi.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka dan calar pada kepala serta badan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, ibu bapa mangsa keluar bekerja dan mangsa ditinggalkan bersama bapa saudaranya.

Mereka dikatakan tidur di ruang tamu sebelum bapa saudara menyedari kehilangan mangsa selepas terdengar jeritan ibu bapa yang baru pulang.

“Bapa mangsa berusia 31 tahun dalam laporannya memaklumkan pintu rumah didapati terbuka ketika pulang.

“Mangsa kemudian ditemui dalam jarak 20 meter dari rumah dan dikelilingi beberapa ekor anjing sebelum dibawa segera ke hospital,” jelasnya.

Mohd Hafiz berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.

Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 atau Pegawai Penyiasat, Insp. Mohamad Aizad Abd Azik di 013-4861194.

Anda Mungkin Berminat