Kandang Lembu Jadi Stor Dadah, Sindiket Pil Kuda Bernilai RM6.16 Juta Tumpas

PASIR MAS: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus memperkukuh iltizam membanteras dadah apabila berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran pil kuda melalui enam serbuan serentak di Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan.

Operasi yang berlangsung pada 27 Jun lalu berjaya menahan enam individu yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita Melayu berusia antara 25 hingga 39 tahun.

Mereka dipercayai memainkan peranan tersusun dalam sindiket itu termasuk sebagai koordinator, orang kanan, pengurus kewangan, transporter dan penjaga stor.

Menurut Pemangku Pengarah JSJN PDRM, Datuk DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, sindiket yang dipercayai aktif sejak Julai 2022 itu menjadikan kandang lembu sebagai lokasi penyimpanan utama dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kejayaan besar ini merupakan bukti nyata kecekapan dan iltizam berterusan JSJN dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah diperbatasan negara.

“Serta membanteras aktiviti yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, serbuan pertama di Jalan Gajah Mati, Pasir Mas berjaya menemukan 227 gram pil YABA daripada suspek pertama.

“Maklumat suspek keenam membawa kepada penemuan stor utama, di mana sebuah kandang lembu di belakang rumah suspek pertama, di mana 19.866 kilogram dadah ditemui.

“Suspek kelima pula ditahan di Wakaf Baru, Tumpat dengan 15.4 kilogram pil YABA dirampas dari kenderaan pacuan empat roda miliknya.

“Serbuan lain membawa kepada penahanan tiga lagi suspek yang disyaki turut terlibat secara aktif,” katanya.

Mat Zani berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah berjumlah 35.493 kilogram pil YABA bernilai RM5.04 juta yang cukup untuk merosakkan seramai 177,465 nyawa jika tidak dibanteras.

Tambahnya, JSJN turut menyita pelbagai aset bernilai RM1.12 juta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 termasuk sembilan kenderaan mewah seperti Mustang EcoBoost, Mercedes Benz dan Toyota Hilux, barang kemas, jam tangan mewah dan beg berjenama terkenal.

Katanya, nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM6.16 juta dan salah satu kejayaan terbesar JSJN tahun ini.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari mulai 28 Jun hingga 4 Julai dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

“Ujian air kencing menunjukkan semua suspek negatif dadah, namun dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat pengedaran dadah menerusi hotline JSJN di talian 012-208 7222.

Anda Mungkin Berminat