Kandungan ‘deepfake’, AI antara draf Akta Keselamatan Dalam Talian

PETALING JAYA: Mesyuarat Pro Tem Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang ditubuhkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) berlangsung pada Selasa bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap ancaman digital yang semakin kompleks.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Jawatankuasa itu berperanan menyelaras strategi keselamatan digital negara termasuk mengenal pasti risiko, menjalankan analisis teknikal, mengadakan konsultasi pelbagai pihak dan mengemukakan syor dasar kepada pembuat dasar.

Azalina berkata Jawatankuasa Pro Tem ditugaskan menetapkan hala tuju strategik serta kerangka tadbir urus sebelum akta itu berkuat kuasa sepenuhnya.

“Setelah akta mula beroperasi, jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Datuk Seri Hasnah Datuk Mohammed Hashim, mantan Hakim Besar Malaya,” katanya pada Selasa.

Beliau menegaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal sebagai pengawal selia tunggal di bawah akta tersebut, dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan yang diperkukuh.

“Jawatankuasa hanya menyediakan analisis strategik dan pandangan pakar untuk menyokong keputusan pengawalseliaan,” jelasnya.

Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada ancaman kecerdasan buatan (AI), khususnya penyebaran kandungan deepfake, selain membincangkan draf Terma Rujukan (ToR) jawatankuasa.

Libat urus bersama agensi kerajaan, industri dan organisasi masyarakat sivil seperti Article 19 serta Center for Independent Journalism (CIJ) turut diadakan bagi memastikan pendekatan yang inklusif dan seimbang.

Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk mewujudkan ekosistem digital yang selamat dan beretika, selari perkembangan teknologi global tanpa menjejaskan kebebasan bersuara serta kepentingan awam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat