Kandungan jelik di TikTok, Shafiq Halim bayar kompaun RM10,000 – MCMC

CYBERJAYA: Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abd Halim hari ini membayar kompaun RM10,000 kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selepas didapati memuat naik kandungan jelik melampau menerusi aplikasi TikTok.

Menurut MCMC, kandungan dimuat naik pada 31 Mac lalu itu menyentuh sentimen kaum dan agama, dan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Kompaun itu dikenakan selepas mendapat izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.

MCMC dalam kenyataan hari ini menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform digital untuk menyebar kandungan berunsur perkauman, ekstremisme agama atau yang menyentuh institusi negara.

“Pengguna media sosial digesa sentiasa beretika, berhemah dan bertanggungjawab terhadap setiap kandungan yang dikongsi,” menurut kenyataan itu.

Shafiq sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas memuat naik video berkaitan isu pengurusan Menara Kuala Lumpur yang didakwa menyentuh isu sensitif perkauman dan agama.

Tindakan MCMC terhadap Shafiq turut mencetuskan kritikan daripada beberapa pemimpin Bersatu yang mendakwa tindakan itu bermotif politik dan bertujuan menyekat suara pembangkang.

Namun begitu, MCMC menegaskan kompaun itu adalah hasil siasatan rasmi dan bertujuan memastikan ruang siber negara kekal selamat, terkawal dan kondusif, selari dengan usaha memperkukuh perpaduan masyarakat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat