KUALA TERENGGANU: Sebuah kapal ‘hantu’ tanpa kru yang hanyut di perairan Pelantar Semangkok A sejak 12 Ogos lalu akhirnya berjaya dikawal dalam satu operasi bersepadu yang diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab memaklumkan bahawa kapal tersebut kini sedang ditunda menuju ke Kemaman Supply Base (KSB) untuk tujuan penyelamatan dan siasatan lanjut.
Menurut beliau, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima laporan daripada MRSC Johor pada pukul 4.45 petang, 12 Ogos lalu, mengenai pengesanan kapal hanyut kira-kira empat batu nautika dari timur pelantar berkenaan.
“Kapal itu hanyut melepasi kawasan pelantar minyak dan berisiko mengancam keselamatan pelantar lain di sekitarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pasukan STAR Team berjaya merapat ke kapal tersebut pada pukul 6.58 petang semalam sebelum memasang tali tunda ke Kapal JM Purnama milik Jasa Merin dan memulakan penundaan ke KSB yang dijangka tiba esok.
“Sebaik tiba di KSB, pemeriksaan terperinci akan dilakukan termasuk siasatan identiti kapal dan aduan berhubung kemungkinan terdapat mangsa di dalamnya,” katanya.
Mazlan turut memaklumkan bahawa operasi akan diteruskan sehingga kapal diserahkan kepada pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM).
Insiden ini dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili pada 7 Ogos lalu, namun siasatan lanjut masih dijalankan.