PETALING JAYA: Kapal Jong Melayu kini secara rasmi menjadi milik penuh Sumud Nusantara, menjadikan ia kapal kedua dalam armada kemanusiaan Malaysia selepas Nusantara.
Perkembangan itu membuka lembaran baharu dalam usaha bantuan dan advokasi melalui jalan laut khususnya dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut Pengarah Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Jong Melayu bukan sekadar aset fizikal tetapi simbol keberanian dan penyatuan rakyat Nusantara dalam memperjuangkan keadilan buat Palestin.
“Dengan semangat Sumud yang bermaksud keteguhan yang tidak pernah luntur, Jong Melayu menjadi simbol penyatuan rakyat Nusantara, membawa suara yang menuntut keadilan serta kebebasan buat Gaza,” katanya dalam hantaran rasmi di Facebook Sumud Nusantara.
Kapal tersebut kini bersedia meneruskan baki pelayaran dari Greece menuju ke Gaza, membawa bersama makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan.
Misi itu turut disertai oleh 34 sukarelawan Malaysia yang berlayar di bawah panji Sumud Nusantara bersama penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Perjalanan Jong Melayu menjadi bukti bahawa usaha kolektif rakyat Malaysia dan Nusantara mampu menembusi sekatan demi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
Dengan dua kapal kini dalam genggaman, Sumud Nusantara bersedia melangkah lebih jauh, menjadikan jalan laut sebagai medan solidariti dan perjuangan untuk dunia yang lebih adil dan bebas penindasan.








