Oleh: Tyah Helmi
TUNISIA: Satu kapal yang terlibat dalam Misi Sumud Nusantara atau ‘Global Sumud Flotilla’ (GSF) dilaporkan diserang malah terbakar di bahagian hadapan dek kapal oleh sebuah dron ketika berlabuh di Tunisia, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Difahamkan, serangan itu berlaku ketika mana kapall berkenaan dalam misi pelayaran menuju ke Gaza sebagai sebahagian misi kemanusian Global Sumud Flotilla (GSF) yang menghimpunkan lebih 50 kapal dari 44 negara bagi menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan ke bumi Gaza.
Berdasarkan maklumat terkini oleh salah satu peserta misi yang amat dikenali iaitu Pendakwah Bebas Rahmat Ikhsan atau PU Rahmat, beliau memaklumkan bahawa mereka kekal tenang kerana semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam pelayaran itu berada dalam keadaan yang selamat.
“Salah satu kapal laut kami diserang dron dan terbakar.
“Semua bertenang kerana tiada kemalangan jiwa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada lewat Isnin.
Dalam pada itu, Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman memaklumkan kapal yang utama ‘Global Sumud Flotilla’ yang dinaiki oleh aktivis terkenal dunia iaitu Gretha Thunberg antara yang menjadi sasaran serangan dron itu.
“Kapal yang dinaiki Greta, Thiago dan Yasemin dibom oleh dron ketika sedang berlabuh di Tunisia. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Doakan,” ujarnya merujuk kepada aktivis Sweden Greta Thunberg, aktivis Brazil Thiago Avila dan aktivis Jerman Yasemin Acar.
Pihak penganjur GSF turut mengesahkan kejadian serangan dron itu menerusi kenyataan rasmi di media sosial mereka.
Kesemua peserta konvoi dijadualkan untuk menyambung pelayaran ke Gaza bermula 10 September ini.
Baca juga:








