Kapal Tangki Minyak Ditahan Di Kuala Baram

MIRI: Sebuah vesel tangki minyak ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri selepas dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam pemeriksaan rutin di perairan Kuala Baram pada Selasa.

Pengarah Zon Maritim Miri, Mohd Khairol Anuar Saad berkata, penahanan dilakukan sekitar pukul 1.35 tengah hari oleh Kapal Maritim yang sedang melaksanakan rondaan di bawah beberapa operasi termasuk Op PERMAI 01/19, Op NAGA, Op TIRIS 3.0, Op Pelantar Merah dan Op Khas Pagar Laut.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tangki minyak terbabit gagal mengemukakan Lesen Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA) bagi penyimpanan dan pemindahan minyak diesel seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain itu katanya, pemeriksaan turut mendapati vesel berkenaan tidak layak berlayar kerana tidak mempunyai sauh, yang merupakan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1953.

Vesel tersebut dikendalikan seorang nakhoda warga tempatan bersama dua kru tempatan serta seorang kru warga Indonesia berusia antara 34 hingga 65 tahun.

Kesemua mereka ditahan dan vesel diiring ke Pusat Tahan Vesel (PTV) Miri untuk siasatan lanjut.

Mohd Khairol berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua atau berulang, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Maritim Malaysia turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut agar segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di 085-649111.

Anda Mungkin Berminat