Pesawat TUDM Tergelincir, Landasan KIA Ditutup Sementara

PETALING JAYA: Landasan utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) ditutup sementara hari ini susulan insiden melibatkan pesawat pengangkut CN-235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang tergelincir dari landasan.

Menurut satu kenyataan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi Facebook, penutupan sementara itu bagi membolehkan kerja-kerja pemindahan pesawat dan pembersihan dijalankan.

“Landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) telah ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pemindahan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta kerja-kerja pembersihan landasan dijalankan,” katanya.

MAHB menjelaskan bahawa pihak berkuasa telah mengeluarkan Notis kepada Anak Kapal Udara (NOTAM), dan penutupan landasan berlangsung sehingga pikul 3 petang tadi.

“Sepanjang tempoh penutupan ini, semua operasi penerbangan di KIA akan terjejas.

“Para penumpang dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan masing-masing dengan syarikat penerbangan yang berkaitan,” ujarnya.

Tambah MAHB, makluman lanjut akan dikeluarkan setelah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan landasan selamat digunakan dan dibuka semula untuk operasi penerbangan.

Difahamkan, pesawat CN-235 itu tergelincir akibat kerosakan pada bahagian tayar.

Anda Mungkin Berminat