KUALA LUMPUR: Sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menjalankan siasatan susulan aduan tular berhubung harga sebiji karipap yang didakwa dijual pada harga RM2.50 di sebuah gerai di sini.
KPDN WP berkata seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja gerai di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri memaklumkan bahawa harga jualan tersebut adalah sama seperti tahun 2025.
“Hasil pemeriksaan mendapati tanda harga telah dipamerkan dengan jelas oleh peniaga, dengan harga jualan ditetapkan sebanyak RM10.00 bagi empat biji karipap untuk setiap jenis.
“Dan tiada sebarang kenaikan harga dibuat pada tahun ini, meskipun pembekal karipap sejuk beku telah menaikkan harga bekalan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Sabtu,
Sehubungan itu, satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah diserahkan kepada pihak terlibat bagi tujuan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan penetapan harga.
Notis berkenaan melibatkan lima unit stok simpanan (SKU), iaitu Karipap Kentang, Sardin, Ayam, Daging dan Daging BP. Pihak yang disiasat diberikan tempoh tiga hari bekerja sehingga 25 Februari 2026 untuk mengemukakan maklum balas kepada pihak berkuasa.
KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menegaskan akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan berkala bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan serta perundangan yang berkuat kuasa, sekali gus melindungi kepentingan pengguna sepanjang tempoh Ramadan.
Baca juga:








