PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan bahawa Karnival FLYSiswa 2026 akan berlangsung pada 13 Januari bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.
Menurut MOT, karnival itu menjadi platform utama untuk memberi penerangan dan hebahan mengenai inisiatif FLYSiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam, politeknik, kolej komuniti, matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG).
“FLYSiswa merupakan program subsidi pembelian tiket penerbangan bagi membantu pelajar pulang ke kampung halaman.
“Program ini khususnya melibatkan laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Melalui inisiatif itu, pelajar yang layak akan menerima baucar digital bernilai RM400 dalam bentuk kredit penerbangan.
Baucar tersebut boleh digunakan untuk membeli tiket kelas ekonomi dengan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian.
Selain itu, karnival turut menyediakan kaunter informasi dan sesi penerangan bagi membolehkan pelajar mendapatkan maklumat secara terus mengenai syarat kelayakan serta pelaksanaan program bagi tahun 2026.
MOT berkata, sejak diperkenalkan pada 2023, FLYSiswa telah memberi manfaat kepada puluhan ribu pelajar dan mencatat peningkatan jumlah tuntutan setiap tahun.
Sehubungan itu, pelajar digalakkan hadir bagi memanfaatkan peluang yang disediakan serta mendapatkan maklumat lengkap mengenai program berkenaan.








