Karnival Kita MADANI Peringkat Sarawak 9, 10 November ini

KUCHING: Karnival Kita MADANI Peringkat Sarawak akan berlangsung selama dua hari pada 9 dan 10 November 2024 di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak dan orang ramai dijemput untuk memeriahkan acara ini.

Karnival ini akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari.

Program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) itu bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat serta menyebarluaskan konsep Malaysia MADANI.

Ia juga diharapkan dapat memupuk perpaduan dan menyebarkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.

Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan, termasuk Infiesta PENTARAMA, Taklimat Belanjawan 2025, Jualan Rahmah, demonstrasi pembuatan kraftangan dan produk berasaskan koko.

Pengunjung juga boleh menikmati ‘car boot sale’, cabutan bertuah, reruai Komuniti MADANI, pameran agensi kerajaan, jualan kraftangan dan kuiz kenegaraan.

Penutup karnival akan menampilkan Permukiman Komuniti MADANI Sarawak dengan bicarawara khas bersama Datuk Sharifah Hasidah dan Rahmat Fitri Abdullah serta sesi Townhall bersama Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Sebelum ini, Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Kelantan berjaya menarik seramai 5,000 pengunjung sepanjang dua hari program itu berlangsung di Dataran Kesedar, Gua Musang baru-baru ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat