Karol Nawrocki Menang Pilihan Raya Presiden Poland

WARSAW: Sejarah baharu tercipta di Poland apabila Karol Nawrocki diumumkan sebagai Presiden baharu negara itu selepas mencatat 50.89 peratus undi menewaskan Rafal Trzaskowski yang memperoleh 49.11 peratus dalam persaingan sengit.

Kemenangan Nawrocki bukan sekadar perubahan kepimpinan tetapi juga tamparan kepada kerajaan pro-Eropah pimpinan Donald Tusk.

Nawrocki, seorang ahli sejarah konservatif, dijangka mengekalkan dasar-dasar tradisional dan menentang usaha kerajaan untuk mereformasi sistem kehakiman serta melonggarkan undang-undang pengguguran.

Dengan sokongan kuat daripada Law and Justice (PiS), Nawrocki dijangka menggunakan kuasa veto presiden untuk menghalang dasar yang bercanggah dengan prinsip konservatifnya.

Beliau menegaskan komitmen untuk mempertahankan tradisi Poland serta memastikan negara kekal kukuh dari segi ekonomi dan keselamatan.

Pilihan raya kali ini menyaksikan rekod keluar mengundi yang tinggi, iaitu 71.63 peratus yang mencerminkan kepentingan pilihan raya ini kepada rakyat Poland.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pantas mengucapkan tahniah kepada Nawrocki dan menyifatkan Poland sebagai “tonggak keselamatan serantau dan Eropah.”

Anda Mungkin Berminat