Kartel baja dan benih perlu dihentikan – PM

Oleh: Shafira Aziz

SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa kartel baja dan benih dapat dihentikan menerusi pentadbiran di bawah Menteri Pertanian dan Keterjaminan (KPKM) Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Katanya, menteri dan Ketua Setiausaha yang tegas diperlukan bagi menoktahkan amalan kartel import lama.

“Benih dan baja tidak boleh secara kartel dan monopoli seperti dulu.

“Sebab itu kita perlu satu menteri dan KSU (Ketua Setiausaha) yang tegas dalam menyatakan bahawa amalan kartel lama yang mengimport baja mesti dan wajib dihentikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Sabtu.

Dalam pada itu, Anwar turut berkata para petani juga perlu berupaya untuk membuat pilihan benih yang terbaik mutunya.

“Sejak dulu lagi kita bercakap mengenai ini (kartel baja dan benih). Ia memerlukan tekad politik untuk membuat keputusan berdasarkan apa yang terbaik buat petani tempatan.

“Sebabkan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada menteri dan kementerian kerana berjaya mengekang budaya lama tersebut daripada diteruskan,” tambahnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha, Datuk Lokman Hakim Ali.

Anda Mungkin Berminat