Kartunis Terkenal Azmi Hussin Meninggal Dunia

GEORGE TOWN: Kartunis terkenal negara, Mohd Azmi Mohd Hussin, atau lebih dikenali sebagai Azmi Hussin, meninggal dunia pada usia 41 tahun di Hospital Pulau Pinang, malam semalam.

Menurut sumber Facebook Penang Brotherhood, Allahyarham dipercayai mengalami serangan jantung ketika dalam perjalanan pulang dari bazar Ramadan di Paya Terubong bersama keluarganya.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Bandar Baru Air Itam selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak.

Azmi memulakan kerjaya sebagai pelukis karikatur jalanan pada usia 29 tahun sekitar 2013.

Antara pencapaian besarnya, buku komik The Little Mamak tersenarai sebagai 50 buku terbaik Malaysia oleh Majlis Buku Negara dan mewakili negara ke Pesta Buku Frankfurt, Jerman.

Selain itu, Allahyarham turut mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records, termasuk kategori ‘Most Caricature Live Painting in 24 Hours’ selepas melukis 320 karikatur dalam tempoh sehari.

Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Anda Mungkin Berminat