PERKONGSIAN tular dari laman sosial thread milik pengguna kilaaaaaaa.n meraih perhatian netizen selepas menceritakan insiden seorang kanak-kanak yang didakwa dipaksa mengemis dalam kostum maskot.
Kejadian dikatakan berlaku pada Ahad lepas (6 Julai 2025) ketika dia dan keluarganya keluarganya menikmati makanan di kawasan Pantai Remis, Kuala Selangor.
Menurut perkongsian itu, seorang kanak-kanak dalam kostum maskot dilihat menghampiri meja pengunjung dan meminta makanan, dipercayai kerana terlalu lapar.
“Budak tu dalam kostum datang dekat meja sebelah saya, dia minta makan. Cara dia makan tu memang macam dah lama tak makan, betul-betul nampak lapar sangat,” tulisnya.
Apa yang lebih mengejutkan, kostum yang dipakai kanak-kanak itu lengkap dengan kotak sumbangan dan kod QR, seolah-olah dia sedang ‘bekerja’ mengutip derma di kawasan awam.
Melihat keadaan itu, abang kepada pengguna terbabit menghampiri budak itu kerana simpati.
Namun secara tiba-tiba, seorang remaja perempuan yang dipercayai kakaknya datang dan menarik kanak-kanak itu dengan kasar.
“Perempuan tu tarik budak tu, bawa pergi dekat mak dia. Lepas tu abang saya nampak sendiri mak dia cubit budak tu depan orang ramai,” dakwanya.

Tidak berdiam diri, abang wanita itu terus menegur si ibu dan bertanya kenapa bertindak sedemikian terhadap anaknya. Namun jawapan si ibu mengejutkan semua.
“Biar la… anak saya, bukan anak awak.”
Ramai netizen meluahkan kemarahan dan rasa simpati terhadap kanak-kanak terbabit yang didakwa menjadi mangsa eksploitasi.
Seorang wanita amirah.azwani tampil di ruangan komen memaklumkan bahawa dia telah melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui WhatsApp.
“Saya dah buat apa yang termampu. Kesian anak ni dengan lapar dahaganya, kena kerja, kena marah, kena cubit…” tulisnya bersama tangkap layar perbualan dengan pihak JKM.
Menerusi tangkap layar itu, pegawai JKM meminta maklumat lokasi kejadian bagi memulakan siasatan lanjut.
Baca juga: