PETALING JAYA: Kaukus Palestin Parlimen Malaysia dengan lantang mengecam tindakan Israel yang melanggar gencatan senjata dan meneruskan serangan ke atas Gaza.
Perlakuan terkutuk itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 436 nyawa termasuk 183 kanak-kanak sejak awal pagi Selasa.
Pengerusi Kaukus, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, serangan itu disifatkan sebagai pembantaian yang semakin meningkat sehingga mencetuskan kecaman keras daripada pelbagai pihak.
Beliau menyifatkan tindakan Israel sebagai jenayah perang yang tidak berperikemanusiaan termasuk serangan ke atas kemudahan Pejabat Perkhidmatan Projek Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOPS) di tengah Gaza.
“Serangan ini bukan sahaja meragut nyawa seorang pekerja kemanusiaan asing tetapi turut mencederakan lima individu lain yang kini dalam keadaan kritikal,” katanya.
Syed Ibrahim turut mengecam kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyifatkan serangan tersebut sebagai “hanyalah permulaan,” sekali gus membuktikan matlamat Israel adalah pemusnahan sistematik Gaza, bukan keamanan.
“Amerika Syarikat bersubahat dalam konflik ini dengan memberikan sokongan ketenteraan penuh kepada Israel termasuk membekalkan senjata dan melindungi Israel daripada sebarang pertanggungjawaban,” katanya.
Selain itu, beliau mengutuk sekatan bantuan kemanusiaan dan arahan pengusiran paksa yang dikenakan ke atas penduduk Gaza dengan menyifatkannya sebagai hukuman kolektif yang melanggar undang-undang antarabangsa.
“Kaukus Palestin menyeru tindakan segera di peringkat global untuk menghentikan keganasan ini.
“Antara langkah yang dicadangkan termasuk menghentikan semua bantuan ketenteraan kepada Israel, membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan memastikan Israel bertanggungjawab atas jenayah perang yang dilakukan,” katanya lagi.
Kata Syed Ibrahim, kecaman semata-mata tidak mencukupi tetapi dunia mesti bertindak segera untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai itu dan berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk kebebasan, keadilan dan maruah.