Kaunter bayaran saman di Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur berlaku kekecohan dipercayai berpunca daripada salah faham pengunjung terhadap diskaun kompaun.
Insiden salah faham terjadi apabila ada pengunjung yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila potongan saman hanya dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan bukannya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Disebabkan itu, Bahagian Komunikasi Korporat JPJ menjelaskan bahawa pihak mereka tidak membuat sebarang pengurangan kompaun saman sepanjang program berkenaan.

“JPJ memang tiada membuat pengurangan saman ketika ini. Benar, ada berlakunya salah faham.
“Namun, kami masih membuka kaunter di sini (SNBJ), untuk orang ramai membuat pembayaran,” katanya pada Jumaat.
Dalam pada itu, terdapat pengunjung yang hampa apabila tidak memperoleh diskaun saman di kaunter JPJ setelah lama menunggu giliran sejak awal pagi.
Difahamkan, perkara itu berlaku berikutan timbul salah faham terhadap laporan media yang menyatakan JPJ akan membuat pengurangan saman terhadap pesalah jalan raya ketika program tersebut berlangsung.
Sebaliknya, hanya PDRM yang mengeluarkan kenyataan untuk melaksanakan pengurangan kompaun saman trafik.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, memaklumkan tawaran pengurangan kompaun itu tidak termasuk kesalahan lalu lintas bagi 2023 yang melibatkan saman kemalangan, kes mahkamah berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan dan kesalahan tidak boleh dikompaun.
Pembayaran kompaun hanya boleh dibuat di kaunter semakan dan pembayaran saman trafik di pekarangan SNBJ, bermula 9 pagi hingga 4 petang pada 8 Disember manakala 9 pagi hingga 6 petang pada 9 dan 10 Disember.