Kawalan diperketat: Ops tiris 4.0 sasar penyeludupan diesel dan petrol

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) dalam usaha memperkukuh kawalan terhadap barang bersubsidi, khususnya bahan api.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, melibatkan penyertaan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai urus setia, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pengangkutan (MOT), serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Langkah itu diambil susulan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat yang meningkatkan risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan seperti diesel dan petrol.

Mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut pada 16 Mac lalu turut memutuskan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bermula tarikh sama, dengan penekanan kepada kerjasama strategik merentasi semua agensi penguatkuasaan.

Sepanjang operasi dari 16 Mac hingga 5 April 2026, sebanyak 8,148 pemeriksaan telah dijalankan, menghasilkan 155 kes. Daripada jumlah itu, 60 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan melebihi RM2.1 juta, diikuti 47 kes petrol RON95 (RM51,299), 21 kes LPG (RM37,822) serta 27 kes melibatkan minyak masak, gula dan tepung gandum.

Hari ini, mesyuarat susulan JTPAP yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, bersetuju dengan beberapa langkah tambahan bagi memperketat kawalan.

Antaranya termasuk menetapkan agensi peneraju mengikut sektor iaitu KPDN bagi sektor darat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi sempadan, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi perairan.

Selain itu, kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung atau membatalkan kelulusan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sekiranya berlaku penyalahgunaan, serta memperkukuh kawal selia aktiviti bunkering.

Kerajaan turut menubuhkan pasukan khas Ops Tiris 4.0 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi mempertingkat penguatkuasaan di peringkat negeri, selain memperluaskan penggunaan fleet card bagi sektor pengangkutan darat barangan di kawasan berkenaan.

Menurut Fadillah Yusof, beberapa syor strategik daripada mesyuarat itu akan dibentangkan secara berkala kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan kestabilan bekalan negara terus terjamin.

Beliau menegaskan kerajaan komited memastikan rakyat tidak terkesan akibat ketidaktentuan geopolitik global.

“Kerajaan tidak akan membiarkan rakyat terkesan akibat gangguan bekalan. Langkah-langkah strategik dan bersepadu telah diperkukuh bagi memastikan keterjaminan bekalan kekal terkawal,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat