KazanForum 2025, Anwar Seru Dunia Islam Teroka Industri Halal

KAZAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru dunia Islam agar bangkit meneroka potensi besar industri halal dan kewangan Islam sebagai sektor ekonomi strategik dalam ucaptama beliau di KazanForum 2025 yang berlangsung di Tatarstan, Rusia.

Forum antarabangsa itu menjadi medan penting untuk pemimpin Malaysia menyuarakan keyakinan bahawa dunia Islam harus tampil sebagai kekuatan bersama yang membawa harapan dan penyelesaian kepada pelbagai cabaran global.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa nilai industri halal global kini melebihi AS$3 trilion, namun masih belum diteroka sepenuhnya oleh negara-negara Islam.

“Dunia Islam perlu melihat industri halal dan kewangan Islam sebagai pemacu pembangunan ekonomi yang berdaya saing serta beretika,” tegas beliau sambil mengajak negara-negara Islam memperkukuh kerjasama dalam bidang ini.

Anwar turut menyentuh kepentingan transformasi digital dan peralihan tenaga dengan memberi contoh inisiatif ASEAN Power Grid yang menghubungkan tenaga merentasi sempadan geografi sebagai model kerjasama serantau yang boleh dicontohi.

Beliau memuji komitmen tuan rumah forum, khususnya Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Rais Tatarstan Rustam Minnikhanov, dalam menjadikan KazanForum sebagai platform dialog yang pragmatik dan inklusif.

Menurutnya, semangat kental dan keteguhan rakyat Tatar yang digambarkan dalam karya Leo Tolstoy, Haji Murat, jelas terzahir dalam forum ini melalui usaha konkrit membina sinergi antara negara Islam dan Rusia.

Anwar turut menegaskan bahawa kemajuan material perlu diseimbangkan dengan nilai ihsan, keadilan dan kasih sayang serta menekankan pentingnya memberi ruang kepada generasi muda untuk menyumbang dalam membentuk masa depan dunia Islam.

Mengakhiri ucapannya, beliau memetik sasterawan agung Gabdullah Tukai: “Jika kamu ingin hidup bermaruah, jangan takut ombak – belajarlah belayar dalam badai.”

KazanForum 2025 menjadi satu lagi langkah signifikan dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara dunia Islam dan Rusia dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, teknologi dan pembangunan insan.

Anda Mungkin Berminat