KBS ingin kembangkan Kod Sukan Selamat ke sekolah, IPT

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited memperkenalkan Kod Sukan Selamat dalam kalangan pelajar, khususnya di sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, berkata, perbincangan telah dilakukan dalam kementerian untuk memperluaskan lagi Kod Sukan Selamat bagi semua pihak yang terlibat dengan sukan.

Kod ini merupakan suatu garis panduan yang dibangunkan oleh KBS bagi menangani gangguan dan penderaan dalam bidang sukan.

“Kod ini telah diterima baik oleh persatuan belia, penjawat sukan dan beberapa badan korporat yang lain jadi KBS ingin mengembangkan lagi penggunaan kod ini sejak peringat awal lagi.

“Perbincangan ini bukan sahaja melibatkan pihak KBS, malah turut disertai Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Dalam Negeri dan kementerian lain yang turut memainkan peranan yang signifikan dalam penguatkuasaan kod ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit.

Adam Adli turut menyatakan bahawa kod itu mulai diperkenalkan di sekolah kerana ia dapat memberi pengetahuan kepada sekumpulan murid melalui subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Beliau memberi reaksi demikian ditemui ketika perasmian Kejohanan Cabaran Sukan Wanita di Sports Arena, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kajang pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Kejohanan Cabaran Sukan Wanita anjuran KBS itu secara tidak langsung dapat menonjolkan penyertaan golongan wanita dalam aktiviti sukan sering didominasi oleh golongan lelaki.

Dalam pada itu, Adam Adli menyifatkan kejohanan terbabit sebagai salah satu usaha untuk merapatkan jurang gender dalam sukan di samping menonjolkan bakat-bakat baru.

“Kebanyakan acara sukan dalam kejohanan ini selalunya dikuasai oleh lelaki, jadi ini adalah usaha dari pihak KBS untuk membudayakan sukan ini dalam golongan wanita.

“Meskipun kejohanan ini bukanlah inisiatif pertama untuk mencapai visi tersebut, saya berharap agar pihak KBS akan terus menganjurkan kejohanan yang terbuka seperti ini untuk membantu peserta dari segi prestasi kesukanan mereka,” ujarnya.

Kejohanan tersebut menyasarkan penglibatan sebanyak 3,500 orang atlet yang mewakili peringkat zon dan kebangsaan dalam empat acara sukan iaitu bola jaring, bola baling, bola tampar dan e-Sukan (Mobile Legends: Bang Bang).

Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Mohd Azhari Mohammad.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/01/12/pemohon-ujian-kelayakan-khas-boleh-semak-keputusan-hari-ini/

Anda Mungkin Berminat