KBS Larang Atlet Bawah 15 Tahun Bertanding Tanpa Pemantauan

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengetatkan garis panduan penganjuran sukan tempur di negara ini bagi mengelakkan eksploitasi dan memastikan keselamatan atlet, khususnya kanak-kanak.

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata langkah itu merangkumi syarat baharu ke atas empat sukan ‘full body contact’ susulan kebimbangan masyarakat terhadap penganjuran pertarungan melibatkan kanak-kanak yang semakin tular sejak kebelakangan ini.

Beliau menegaskan kanak-kanak bawah 15 tahun tidak dibenarkan bertanding dalam sukan tempur yang membenarkan kemenangan melalui knockout (KO) tanpa pemantauan ketat serta kelulusan pihak berkuasa sukan.

“Kita mahu pastikan kanak-kanak tidak digunakan untuk mempengaruhi jualan tiket atau dijadikan aset hiburan. Ini sangat bertentangan dengan nilai sukan,” katanya pada sidang media di KBS pada Jumaat.

Menurut Hannah, keputusan itu selaras dengan garis panduan badan sukan antarabangsa yang menetapkan syarat perlindungan lebih ketat untuk atlet muda dalam sukan berisiko tinggi.

“Empat sukan yang terlibat ialah Muay Thai, tinju, kickboxing dan seni bela diri campuran (MMA), kerana kesemuanya memberi ruang kemenangan melalui KO yang membawa risiko kecederaan serius jika tiada kepakaran penganjuran.

“Sukan ini melibatkan risiko KO, kecederaan serius dan juga risiko kematian jika penganjur tidak berpengalaman atau gagal mematuhi SOP.” ujarnya.

Sebagai langkah kawal selia, Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan mengumpul data rasmi termasuk rekod pertarungan, kategori berat, kecederaan serta tempoh rehat wajib selepas KO bagi setiap atlet.

“Jika tiada data, seorang kanak-kanak boleh KO dalam satu acara dan 10 hari kemudian bertanding lagi. Ini bahaya dan tidak boleh dibiarkan.

“Kes-kes tular sebelum ini yang menyaksikan kanak-kanak bertarung tanpa peralatan perlindungan dan tanpa sanction sah turut mencetuskan reaksi daripada polis, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Masyarakat tidak selesa melihat kanak-kanak dipertaruhkan tanpa perlindungan. Oleh sebab itu, kita mengambil langkah mengetatkan penganjuran,” katanya lagi.

Mulai sekarang, acara yang melibatkan atlet bawah 15 tahun hanya boleh dianjurkan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan atau negeri dengan sanction rasmi serta pematuhan penuh SOP keselamatan.

KBS turut akan mengadakan sesi libat urus bersama kelab dan persatuan sukan tempur bagi menambah baik SOP sebelum garis panduan dimuktamadkan dan dikuatkuasakan sepenuhnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat