KBS Perketat SOP Konsert EDM Demi Keselamatan Belia

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah segera dalam memerangi penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia serta mencegah kematian semasa penganjuran konsert, khususnya yang melibatkan genre electronic dance music (EDM).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata beberapa penambahbaikan telah disusun termasuk mewujudkan ‘Hydration Point’ bagi mengelakkan dehidrasi dalam kalangan pengunjung konsert.

Hospital juga akan berada dalam keadaan siap siaga untuk menerima dan mengendalikan mangsa jika berlaku kecemasan.

“Kami akan tayangkan poster dan video kesedaran mengenai bahaya dadah serta langkah segera yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan. Ia penting untuk memastikan mesej pencegahan sampai kepada semua lapisan pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

KBS turut menyediakan pasukan perubatan di lokasi serta menempatkan unit anjing pengesan (K9) bagi memperkukuh kawalan keselamatan.

“Kami mahu anak muda dapat menikmati konsert dalam suasana selamat dan terkawal. Ini bukan soal hiburan semata-mata, tetapi juga soal keselamatan dan kesejahteraan mereka,” ujar Hannah.

Larangan merokok dan penggunaan vape turut dikuatkuasakan di semua fasiliti di bawah KBS termasuk Kuala Lumpur Sports City (KLSC) dan Sepang International Circuit (SIC).

Semua inisiatif ini dirangka bagi membina kesedaran proaktif dalam kalangan belia, keluarga dan komuniti.

KBS juga akan terus bekerjasama erat dengan agensi kerajaan dan NGO demi merealisasikan matlamat ‘Belia Bebas Dadah’.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat