KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan dana sebanyak RM2.5 juta melalui Dana Bantuan (Pembangunan Belia dan Rakan Muda).
Menurut KBS, dana tersebut diwujudkan untuk membangunkan potensi belia serta menggalakkan penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.
KBS berkata, dana tersebut akan memberi manfaat kepada kelab, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia termasuk Kelab Rakan Muda (KRM), Sekretariat Rakan Muda Institusi Pengajian Tinggi (SRM IPT) dan Badan Operasi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (BO ARPRM) untuk merancang program inovatif dan berimpak tinggi.
“Penyaluran dana bantuan dilaksanakan secara terus kepada pemohon selepas kelulusan oleh Jawatankuasa dan laporan keseluruhan pelaksanaan program perlu dikemukakan kepada KBS dalam tempoh 30 hari selepas pelaksanaan program dilaksanakan.
“KBS menyeru semua pihak untuk mengambil peluang ini bagi menyokong usaha kerajaan ke arah pemerkasaan pembangunan belia serta memperkukuhkan hubungan antara generasi muda dan masyarakat keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Maklumat lanjut dan permohonan dana ini secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web rasmi KBS di https://www.kbs.gov.my/home.
Baca juga: