KBS Tegas Komitmen Angkat Isu Belia Ke Peringkat Tertinggi

PARLIMEN | Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh komitmen untuk memastikan suara anak muda didengari dan diangkat sebagai input penting dalam merangka dasar pembangunan negara.

Menerusi platform rasmi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), pelbagai isu dan cadangan belia kini mendapat perhatian serius kerajaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim menjelaskan bahawa MPBN berfungsi sebagai wadah rasmi bagi pemimpin pertubuhan belia di semua peringkat untuk menyuarakan pandangan secara langsung.

“Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) merupakan platform kepada pemimpin pemimpin pertubuhan belia di semua peringkat untuk mengetengahkan isu-isu pembangunan belia kepada pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, dalam sesi Dewan Rakyat hari ini mengenai penambahbaikan utama yang telah dibawa oleh KBS dalam MPBN.

Adam Adli berkata, pelbagai usul penting yang dibawa oleh golongan belia telah dimasukkan ke dalam persidangan MPBN, termasuk pelan tindakan mitigasi bencana banjir yang holistik dan bersepadu.

“Penanganan ancaman penyalahgunaan dadah moden atau sintetik, pemerkasaan ekosistem industri e-sukan dan pendidikan prasekolah percuma dan penambahan prasekolah di seluruh negara.

“Persidangan ini memberi ruang kepada pertubuhan-pertubuhan belia untuk mengemukakan usul, pandangan dan cadangan bagi memartabatkan dan meneruskan agenda pembangunan belia,” ujarnya.

MPBN dikendalikan mengikut peruntukan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668], dengan keanggotaan terdiri daripada Majlis Belia Malaysia (MBM), wakil kerajaan, pegawai kanan kementerian, dan ahli lantikan Menteri Belia dan Sukan.

KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah melaksanakan penambahbaikan termasuk mengembalikan penganjuran persidangan dua kali setahun bermula 2024, selaras dengan Seksyen 46 Akta 668.

Selari dengan agenda pendigitalan negara, KBS turut menyiarkan persidangan MPBN secara langsung di media sosial bagi memastikan akses lebih luas dalam kalangan belia.

“Tahun ini, KBS turut memperkenalkan pelantikan Ahli Lantikan Menteri (ALM) secara lebih terbuka dan inklusif bagi Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026.

“Permohonan pemilihan dibuka kepada umum, melibatkan wakil belia daripada pelbagai latar belakang termasuk atlet para (OKU) serta belia dari Sabah dan Sarawak.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen KBS dalam memastikan pelbagai perspektif dan suara belia diangkat secara adil dan seimbang,” katanya.

Anda Mungkin Berminat