KDN Haram Dua Buku, Mungkin Mudarat Moral

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan larangan ke atas dua novel cinta berjudul Chase Me dan Ammar Zahrain: The Obsessive Husband, yang didakwa boleh memudaratkan moral masyarakat.

Menurut kenyataan media KDN hari ini, perintah larangan itu telah diwartakan menerusi Warta Kerajaan dan berkuat kuasa masing-masing pada 1 dan 3 Julai 2025.

“Perintah Larangan ini juga merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

“Dalam masa yang sama, masyarakat dilindungi dan turut memperoleh pendedahan serta kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” kata kenyataan itu.

Selaras dengan Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), KDN berkata, segala bentuk pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan dan pengedaran buku yang disenaraikan kini dilarang sepenuhnya di Malaysia.

KDN turut mengingatkan bahawa mana-mana individu yang memiliki bahan terbitan larangan tanpa alasan munasabah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 di bawah Subseksyen 8(1) akta tersebut.

“Subseksyen 8(2) Akta 301: mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya,” jelas kementerian.

Dalam pada itu, kerajaan menegaskan komitmen berterusan terhadap kawal selia dan penguatkuasaan penerbitan bagi mencegah sebarang penyebaran unsur atau fahaman yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.

Senarai penerbitan yang dikenakan larangan boleh disemak di laman rasmi www.moha.gov.my atau melalui portal Perundangan Persekutuan Malaysia.

Anda Mungkin Berminat