PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan insiden letupan bunga api di Paya Besar, Kulim, Kedah, pada 20 Oktober lalu berpunca daripada pembakaran bahan letupan disyaki jenis piroteknik yang tidak dibenarkan untuk jualan awam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, 22 individu cedera, dengan sebahagiannya dirawat di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kulim, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Menurut KDN, dua suspek telah ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam pembakaran bahan letupan tanpa permit sah.
“Siasatan awal mendapati bahan letupan yang digunakan bukan daripada jenis dibenarkan dan tidak sepatutnya berada dalam pemilikan orang awam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, merangkumi siasatan terhadap aspek kecuaian, pemilikan haram serta pengendalian bahan letupan tanpa kebenaran” kata kenyataan KDN pada Rabu.
KDN turut menegaskan penjualan, pemilikan dan penggunaan mercun atau bunga api yang tidak diluluskan adalah haram, dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
Kementerian turut menasihatkan orang awam serta penganjur agar mematuhi semua garis panduan keselamatan yang ditetapkan.
“KDN menyeru semua pihak supaya lebih berwaspada dan tidak mengambil mudah aspek keselamatan ketika menganjurkan sebarang pertunjukan bunga api,” katanya.