KDN Lupus Lebih 4,000 Alat Mainan Seks Bernilai RM146,000

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melupuskan sebanyak 4,667 unit alat mainan seks seberat 5.5 tan dengan anggaran nilai RM146,000 yang dirampas di sekitar Selangor, dalam operasi bersepadu membanteras bahan terlarang yang menjejaskan kemoralan dan ketenteraman awam.

Menurut kenyataan rasmi KDN pada Khamis, pelupusan dilakukan selepas mahkamah mengeluarkan perintah lucuthak di bawah Seksyen 19(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP), susulan proses perundangan yang berlangsung antara Julai 2023 hingga Jun 2024.

“Kaedah pelupusan dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan semua alat mainan seks dimusnahkan sepenuhnya supaya tidak lagi berbentuk asal atau berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan.

KDN berkata, pelupusan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk membanteras bahan yang bertentangan dengan nilai moral dan sosiobudaya masyarakat Malaysia.

“KDN komited membanteras bahan yang memudaratkan kemoralan dan ketenteraman awam serta bertentangan dengan sosiobudaya masyarakat Malaysia,” tambah kenyataan itu.

Kementerian turut memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti mencetak, mengimport, menjual atau mengedar hasil penerbitan larangan yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan kesejahteraan sosial.

“Aktiviti seumpama ini bukan sahaja tidak bermoral tetapi juga boleh menjejaskan nilai dan norma kehidupan masyarakat,” tegas kenyataan itu lagi.

Anda Mungkin Berminat