KUALA LUMPUR: Pejabat Menteri Dalam Negeri mengesan kewujudan beberapa akaun TikTok palsu yang menggunakan nama dan gambar Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi tujuan penipuan.
Dalam satu kenyataan hari ini, pejabat menteri memaklumkan bahawa hanya satu akaun rasmi TikTok milik Saifuddin iaitu @saifuddin_nasution.
Namun, beberapa akaun palsu dikesan menyamar sebagai menteri dan menawarkan bantuan kewangan palsu, sebelum meminta mangsa menghubungi nombor WhatsApp tertentu dan membuat bayaran pendahuluan.
“Sebenarnya ini adalah penipuan untuk memperdaya orang ramai membuat pembayaran awal. Laporan polis dan kepada pihak TikTok telah dibuat,” jelas kenyataan itu yang turut dikongsi di Facebook rasmi.
Setakat ini, tiga akaun telah disekat:
Saifuddin_Nasution0
Saifuddin_Nasution1
Saifuddin_Nasution12
Pejabat menteri turut mengingatkan bahawa Saifuddin tidak pernah meminta sebarang bayaran untuk mana-mana bentuk bantuan.
Orang ramai dinasihat supaya tidak mudah percaya, tidak berkongsi maklumat peribadi dan tidak membuat sebarang bayaran kepada akaun atau individu yang meragukan.
Mereka diseru merujuk saluran rasmi media sosial menteri untuk sebarang maklumat sahih.
Baca juga: