PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bertindak sebagai pemudah cara untuk memastikan kelancaran Perhimpunan Antirasuah yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu sejajar dengan komitmen kerajaan untuk menghormati hak kebebasan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kami di KDN akan memastikan himpunan ini berjalan dengan lancar kerana kerajaan ini menghormati prinsip kebebasan berhimpun dan bersuara,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Akta Perhimpunan Aman menjadi rujukan utama dalam memastikan keseimbangan antara kebebasan berhimpun dan aspek keselamatan.
Saifuddin turut mengingatkan penganjur dan peserta agar mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuk larangan membawa senjata tajam dan membawa kanak-kanak di bawah umur ke perhimpunan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan bertemakan ‘Rakyat Benci Rasuah’ yang dijadual berlangsung pada Sabtu, sambil menekankan komitmennya dalam memerangi gejala rasuah di semua peringkat.