PARLIMEN | Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan bahawa tujuh pemain warisan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah diluluskan permohonan kewarganegaraan mereka menerusi jalur naturalisasi, sekali gus membuka jalan kepada penyertaan rasmi mereka dalam skuad Harimau Malaya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa kelulusan tersebut dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan individu berstatus kerakyatan asing memohon menjadi warganegara Malaysia.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah menggunakan khidmat ejen.
“Bila disemak, semua syarat tersebut dipatuhi,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurut Saifuddin, kelulusan itu selaras dengan tiga rukun utama permohonan iaitu pemohon mesti membuat permohonan sendiri tanpa ejen, bermastautin di Malaysia dalam tempoh ditetapkan, berkelakuan baik serta memahami bahasa Melayu.
Keputusan itu hadir selepas FIFA mengenakan tindakan terhadap FAM berhubung isu pendaftaran dan dokumen asal kelahiran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia termasuk Hector Hevel, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.
FIFA mendapati terdapat percanggahan antara dokumen asal dan salinan yang dikemukakan, menyebabkan FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM11,000 dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
“Tindakan FIFA menyebabkan isu ini berbangkit, namun dari segi kelulusan kerajaan, ia diputuskan mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur sedia ada,” jelas Saifuddin.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun kelulusan telah diberi, proses permohonan masih perlu dilengkapkan di bawah Kaedah-Kaedah Warganegara 1964, termasuk pengisian Borang C serta lampiran pasport dan dokumen berkaitan.
Dalam menjawab isu kelayakan pemain untuk mewakili negara, Saifuddin menjelaskan bahawa ia tertakluk kepada syarat FIFA, iaitu pemain mesti lahir di negara berkenaan atau mempunyai ibu bapa, datuk atau nenek kelahiran negara tersebut, selain tinggal secara berterusan di situ.
“Jika mana-mana satu syarat ini dipenuhi, pemain layak didaftarkan mewakili negara. Itu urusan FAM,” tambahnya.
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memberi tempoh 30 hari kepada FAM untuk menjelaskan bayaran denda dan tiga hari bagi mengemukakan rayuan rasmi.








