PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuka siasatan terhadap Sarawak Tribune susulan aduan awam berhubung artikel bertajuk “Militant Using Press Cover Eliminated” yang diterbitkan pada 12 Ogos lalu.
KDN berkata tiga individu daripada syarikat penerbitan berkenaan dipanggil untuk memberikan keterangan.
Siasatan difokuskan terhadap penerbitan kandungan tidak wajar yang berpotensi menimbulkan keresahan awam, menggugat ketenteraman serta melanggar syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
“KDN memandang serius artikel berkenaan kerana ia menimbulkan kekeliruan, rungutan dan kebimbangan masyarakat.
“Penerbitan berita perlu lebih teliti, bertanggungjawab dan beretika, selain memastikan kandungan tidak mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti awam,” kata Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jika disabitkan kesalahan, penerbit boleh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, termasuk pembatalan permit penerbitan.
Baca juga: