PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi teguran kepada penganjur perhimpunan ‘Turun Anwar’ atas kelalaian mereka kerana tidak mengingatkan peserta agar tidak membawa kanak-kanak bawah umur seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.
Memetik laporan Harian Metro, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu melanggar peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
“Akta ini ada tiga tanggungjawab utama. Polis bertindak memudah cara, penganjur tidak boleh bangkitkan isu perkauman, agama atau institusi raja dan peserta pula tidak boleh bawa senjata berbahaya dan membawa kanak-kanak bawah umur,” katanya.
Saifuddin turut memuji profesionalisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan perhimpunan tersebut berlangsung aman, selaras dengan prinsip Kerajaan Madani yang menjamin hak berhimpun secara bebas.
“Tapi yang jelas, ini bukti paling nyata, sudah terang lagi bersuluh bahawa Kerajaan Madani benar-benar menterjemahkan kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan.
“Polis pula memberikan kawalan secara penuh tanggungjawab dan profesional,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada PDRM berhubung pelanggaran Akta Perhimpunan Aman, termasuk isu sensitif 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
“Saya belum mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak polis setakat ini kalau ada laporan atau aduan tentang pelanggaran akta yang sedia ada, termasuk isu 3R,” katanya.








