KDN: Tiada bukti sahih buruan nombor satu negara, Jho Low ada di Shanghai

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa tiada sebarang bukti sahih yang diterima setakat ini bagi mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan, berkait kes Low Taek Jho atau Jho Low, kini berada di Shanghai, China, didakwa sedang menggunakan pasport palsu Australia bagi menyembunyikan dirinya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalinkan kerjasama rapat bersama agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa dalam usaha menjejak keberadaan suspek utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

“Saya nak sebut bahawa KDN melalui polis sentiasa menjalankan kerjasama erat dan berterusan dengan pihak berkuasa agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa. Setakat ini, dakwaan mengenai lokasi dan penggunaan pasport belum disokong sebarang fakta atau bukti sah dan sahih.

“(Laporan media itu) kekal hanya sebagai pelaporan oleh wartawan berkenaan sahaja,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia,” katanya, memetik laporan Berita Harian hari ini.

Pendedahan itu dibuat dua wartawan penyiasatan terkenal, Bradley Hope dan Tom Wright, yang sebelum ini membongkar skandal 1MDB, dalam episod khas ‘Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright’ yang disiarkan pada Jumaat.

Skandal kewangan 1MDB yang menggoncang pentas politik Malaysia dan antarabangsa melibatkan penyelewengan dana sebanyak RM35 bilion.

Sementara itu, Tom Wright di laman X beliau, telah mengulangi ciapan mengenai dakwaan lokasi Jho Low yang terkini.

“Jho Low ialah penipu terhebat dunia namun dia masih bebas, tinggal di sebuah rumah agam di Shanghai dan beroperasi menggunakan pasport palsu Australia. Kami dedahkan bagaimana dia masih berguna kepada kerajaan China.”

Walaupun begitu, kerajaan Malaysia menegaskan siasatan dan usaha membawa pulang Jho Low akan terus dipergiat berdasarkan fakta dan bukti sahih, bukannya spekulasi media semata-mata.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat