Keadaan Sultan Brunei Baik, Stabil – PMO

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah menziarahi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat keletihan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan, baginda dilaporkan stabil dan berada dalam keadaan baik.

“Namun begitu, baginda masih memerlukan pemantauan oleh pasukan perubatan dan ketika ini ditemani oleh Raja Isteri Pengiran Anak Saleha,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Dalam pada itu, PMO juga memaklumkan pihak pasukan perubatan telah menasihatkan agar baginda untuk tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini, kecuali daripada keluarga Diraja Brunei sahaja.

Ini, katanya, demi memastikan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar.

“Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan semoga baginda dikurniakan kesembuhan segera mungkin serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, dalam ucapan Majlis Penutup Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, Anwar memohon maaf kerana terlewat hadir persidangan berikutan baru selesai melawat Sultan Brunei.

“Saya memohon maaf kerana lewat hadir kerana selesai sahaja persidangan antarabangsa pagi tadi, saya mengambil sedikit masa melawat Sultan Brunei yang sedang berehat di hospital,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah dalam keadaan sihat selepas dimasukkan ke hospital di Malaysia akibat keletihan semasa menghadiri sidang kemuncak serantau, menurut kenyataan pejabat baginda malam tadi.

Sultan berusia 78 tahun itu dimasukkan ke IJN di Kuala Lumpur dan dijangka menjalani rawatan selama beberapa hari atas nasihat pakar perubatan Malaysia.

“Baginda dalam keadaan sihat,” menurut kenyataan itu yang memaklumkan bahawa baginda sebelum itu berasa letih.

Anda Mungkin Berminat