Keagungan akhlak Nabi Muhammad SAW jadi azimat sepanjang hayat


Susunan: Shafira Aziz

TIADA contoh yang lebih baik daripada Rasulullah SAW untuk umat Islam ikuti sepanjang hayat, lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin mencabar hari ini.

Nabi Muhammad SAW dikenali bukan sahaja sebagai utusan Allah, tetapi juga sebagai insan yang memiliki akhlak yang paling mulia.

Setiap tindak-tanduk Baginda mencerminkan keperibadian yang tinggi, menjadikan Baginda contoh ikutan terbaik.

Baginda sentiasa berlaku adil dan penuh kasih sayang, baik kepada keluarga mahupun musuh.

Sifat lemah-lembut dan kesabaran Baginda dalam menghadapi ujian menjadikan Baginda dihormati, baik komuniti Islam ataupun kafir pada zaman itu.

Kejujuran Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah dipersoalkan, sehingga digelar Al-Amin, yang bermaksud ‘yang terpercaya’.

Sikap Baginda itu telah membawa ramai kepada Islam, kerana mereka melihat kebenaran melalui akhlak Baginda.

Walaupun Baginda memegang kuasa sebagai pemimpin, Baginda tetap hidup secara sederhana.

Kelembutan hati Baginda terhadap golongan miskin, yatim dan yang terpinggir menunjukkan bahawa keadilan dan rahmat Islam tidak mengenal batas.

Sifat pemaaf Nabi Muhammad SAW adalah contoh yang sukar ditandingi. Baginda tidak pernah berdendam, malah mendoakan kebaikan untuk mereka yang menyakiti Baginda.

Keagungan akhlak Nabi Muhammad SAW menjadikan Baginda teladan terbaik dalam setiap aspek kehidupan.

Sempena Maulidur Rasul, kita diingatkan untuk mencontohi akhlak mulia Nabi Muhammad SAW dengan mengamalkan sifat-sifat Baginda agar mampu membawa perubahan positif dalam kehidupan kita dan masyarakat.

Anda Mungkin Berminat