KUALA LUMPUR: Kekuatan rantau ASEAN bukan sekadar terletak pada kerjasama ekonomi tetapi berpaksikan semangat muafakat, budaya wacana yang segar dan keyakinan bersama yang dipasakkan oleh negara-negara anggotanya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hanya dengan menjamin keamanan dan kestabilan serantau adalah kunci utama kepada jalan ke arah kemajuan ekonomi yang lebih mendakap serta memungkinkan kesejahteraan dan masa depan buat warga,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa keamanan bukanlah ketiadaan konflik semata-mata tetapi menuntut keadilan, integriti dan prinsip saling menghormati antara negara jiran.
Beliau memetik kata-kata pemikir Rom purba, Juvenal iaitu “Quis custodiet ipsos custodes” — “siapa yang akan mengawasi para pengawal itu sendiri?”
Kata-kata ini, menurut Anwar, menjentik dhamir tentang pentingnya pertanggungjawaban dan ketelusan sebagai asas keyakinan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan.
Dalam dunia yang semakin kompleks, prinsip ‘centrality’ ASEAN disifatkan sebagai kompas strategik yang perlu dipertahankan.
Anwar menyebut contoh kerjasama ekonomi Johor-Singapura dan usaha damai di sempadan Thailand-Kemboja sebagai bukti bahawa ASEAN mampu menundukkan prasangka dan membuka ruang persefahaman baharu.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berikrar untuk menjunjung visi ‘ASEAN Community 2045’ dengan komitmen memperkukuh jaringan keselamatan, meningkatkan perkongsian risikan dan memastikan tiada negara atau masyarakat yang terpinggir.
“Ini makna sebenar ASEAN yang aman, makmur dan berteraskan rakyat, iaitu sebuah ketumbukan yang mampu menzahirkan keadilan dan mencambah harapan,” katanya.