SHAH ALAM: Sebuah bengkel kenderaan di Seksyen 24, di sini, musnah hampir sepenuhnya dalam kebakaran besar malam tadi, mengakibatkan 37 buah kereta dan tujuh motosikal hangus dalam insiden yang berlaku sekitar pukul 11.31 malam.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihak bomba menerima panggilan kecemasan sebelum 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam serta Bukit Jelutong digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
“Kita tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian, mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel kenderaan.
“Dianggarkan premis berkenaan terbakar 90 peratus melibatkan struktur bangunan, 37 buah kereta berlainan jenis serta tujuh buah motosikal,” katanya.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12.26 tengah malam dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.31 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan berada dalam premis ketika kejadian, namun seorang pekerja bengkel berusia 30-an mengalami melecur ringan di tangan ketika cuba mengalihkan kenderaan yang terbakar.
Mangsa telah menerima rawatan awal dan dilaporkan stabil.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Bengkel tersebut dilaporkan berkeluasan kira-kira 50 x 100 kaki persegi dan musnah hampir keseluruhannya.