Kebakaran Lereng Bukit Puncak Jalil Merebak Lebih Dua Hektar

KUALA LUMPUR: Kebakaran yang berlaku di lereng bukit di Puncak Jalil berhampiran Seri Kembangan petang tadi dilaporkan merebak ke kawasan yang lebih luas sehingga melebihi dua hektar setakat malam ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata sehingga jam 9 malam, pasukan bomba masih giat menjalankan kerja pemadaman di lokasi kejadian.

“Ketika ini operasi pemadaman masih dijalankan dengan kekuatan seramai 27 anggota bomba,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, operasi itu melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan, Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya serta Balai Bomba dan Penyelamat Penchala dengan penggunaan enam jentera dan tiga ambulans.

Ahmad Mukhlis berkata, berdasarkan laporan komander operasi pada sebelah petang, kebakaran pada awalnya melibatkan kawasan hutan lereng bukit seluas kira-kira 1.2 hektar.

Bagaimanapun, ketika panggilan kecemasan pertama diterima sekitar jam 4.12 petang, kebakaran dilaporkan hanya melibatkan kawasan seluas kira-kira 0.3 hektar.

Beliau berkata, maklumat terkini di lokasi mendapati kawasan terbakar dianggarkan seluas 500 meter × 300 meter dan dibahagikan kepada enam sektor bagi memudahkan operasi pemadaman.

Menurutnya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan kepada struktur kediaman mahupun premis perniagaan berhampiran.

Katanya, kawasan kejadian terletak kira-kira 150 meter dari kawasan perumahan berhampiran, namun dipisahkan oleh sebuah longkang besar yang bertindak sebagai penghalang semula jadi.

“Ketika ini pasukan bomba sedang melaksanakan kaedah fire break bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan kediaman berdekatan,” katanya.

Kebakaran tersebut turut dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX) kerana lokasi kejadian terletak berhampiran lebuh raya berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat