Kebakaran Musnah Dua Rumah, Sebuah Surau Di Keningau

KENINGAU: Dua buah rumah dan sebuah surau musnah dalam kebakaran awal pagi tadi di Kampung Pagar-Pagar Sondoton, Keningau.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 12:53 pagi sebelum pasukan Bravo seramai 10 anggota, diketuai oleh Komander Operasi PBK I Selverinus Sixtus Geofrey, bergegas ke lokasi sejauh tiga kilometer dari balai menggunakan jentera FRT, EMRS dan Water Tanker.

Setibanya di lokasi pada pukul 1:00 pagi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan tiga struktur tidak kekal iaitu dua buah rumah dan sebuah surau.

Kesemua bangunan tersebut terbakar sepenuhnya.

Pasukan Bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan, bersumberkan air daripada jentera, Water Tanker serta pili bomba berhampiran.

Api berjaya dikawal daripada merebak pada pukul 1:44 pagi.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.

Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 3:00 pagi.

Anda Mungkin Berminat