Kebakaran Pangsapuri di Hong Kong Ragut 44 Nyawa, Ratusan Masih Hilang

HONG KONG: Sekurang-kurangnya 44 orang maut dalam kebakaran besar yang memusnahkan tujuh blok pangsapuri di Wang Fuk Court, Daerah Tai Po, pada Rabu petang.

Pihak berkuasa memaklumkan puluhan mangsa kini sedang dirawat di hospital, manakala sekurang-kurangnya 279 individu masih hilang.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, berkata kebakaran kini semakin terkawal dengan tiga bangunan dilaporkan bebas daripada api yang merebak.

“Kebakaran ini luar biasa kerana merebak dengan pantas. Kami sedang menjalankan siasatan rapi untuk mengenal pasti punca sebenar,” katanya dipetik Aljazeera.

Beliau menambah bahawa kompleks kediaman bertingkat tinggi itu sedang menjalani kerja pengubahsuaian ketika kebakaran berlaku, dengan perancah buluh mengelilingi bangunan berkenaan.

Ratusan penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara, manakala unit perumahan kecemasan disediakan bagi mereka yang memerlukan penempatan semula.

Pasukan bomba dan penyelamat terus bekerja sepanjang malam, termasuk menyelamatkan seorang bayi dan seorang wanita warga emas daripada salah satu blok yang terbakar.

Operasi memadam dan menyelamat dijangka berterusan sehingga keselamatan sepenuhnya terjamin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat