Kebakaran Putra Heights: 1,254 mangsa telah daftar dengan JKM – MB Selangor

PETALING JAYA: Insiden kebakaran tragis di Putra Heights pada 1 April lalu terus memberi impak mendalam kepada penduduk setempat.

Dalam sidang media, hari ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkongsi perkembangan penting berkenaan usaha bantuan dan langkah pemulihan bagi mangsa yang terjejas.

“Sebanyak 308 keluarga melibatkan 1,254 mangsa telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Kamelia Putra Heights telah disediakan untuk menampung mangsa.

“Kategori mangsa pula terbahagi kepada mereka yang mendiami PPS dan mereka yang berdaftar tetapi memilih untuk tidak tinggal di PPS,” katanya.

Amirudin berkata, bagi mangsa dengan kecederaan serius, dua individu kini dirawat di Unit Kawalan Rapi Hospital Ampang dan Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi respiratori.

Menurutnya, keadaan mereka dipantau rapi oleh pasukan perubatan.

Amirudin juga memaklumkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengatur sesi taklimat berkala untuk memastikan ketelusan maklumat kepada masyarakat.

Katanya, taklimat itu diadakan setiap dua hari sekali, berselang dengan pengumuman Ketua Polis Negara dan jabatan teknikal yang terlibat dalam siasatan serta proses pemulihan.

Anda Mungkin Berminat