Kebebasan Bersuara Perlu Disertai Adab, Tanggungjawab – MPPK

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengutuk keras tindakan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur pemimpin tertinggi negara dalam satu perhimpunan di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

MPPK menyifatkan perbuatan itu sebagai provokatif berlebihan dan tidak mencerminkan nilai serta adab warga institusi pengajian tinggi.

“Perbuatan ini mencerminkan ketandusan pemikiran rasional, mencemar citra institusi pengajian tinggi sebagai medan ilmu serta berisiko mengganggu ketenteraman awam,” kata MPPK dalam kenyataan, hari ini.

Menurut MPPK, kebebasan bersuara sememangnya diiktiraf sebagai tunjang penting dalam ekosistem demokrasi kampus yang matang dan beradab namun ia perlu disertai kematangan intelektual dan tidak disalurkan melalui tindakan ekstrem atau menghina.

“Mahasiswa seharusnya mengangkat prinsip kesantunan, penghormatan dan keupayaan untuk berbeza pandangan secara beradab, bukannya bertindak secara biadab atau melampaui batas,” tambah kenyataan itu.

MPPK turut menghargai sikap berjiwa besar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak sebarang tindakan keras termasuk penamatan pengajian terhadap mahasiswa terbabit, walaupun beliau sendiri menjadi sasaran insiden tersebut.

“Pendekatan penuh ihsan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada anak muda tercicir daripada akses pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan,” kata MPPK.

Dalam kenyataan sama, MPPK menegaskan komitmennya untuk terus memelihara keharmonian kampus sebagai ruang intelektual yang aman, terbuka dan kondusif untuk pembangunan ilmu dan kepimpinan mahasiswa.

Anda Mungkin Berminat