Kebebasan pihak berkuasa kekang rasuah bukti reformasi Kerajaan Madani – Mahathir

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Pendekatan tata kelola Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi kebebasan penuh kepada pihak berkuasa untuk mengekang rasuah tanpa perlindungan politik disifatkan bukti jelas komitmen reformasi Kerajaan Madani.

Menurut Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Mahathir Mohd Rais, keberanian Anwar Ibrahim yang membiarkan agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menjalankan siasatan secara bebas khususnya kepada tokoh yang berprofil tinggi.

“Ujian sebenar bukan pada slogan, tetapi apabila kuasa tidak mengganggu proses. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri hari ini, kita melihat isyarat jelas bahawa undang-undang dibenarkan bergerak tanpa pilih kasih,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Tegas beliau, pendedahan kes-kes melibatkan jumlah wang besar dan individu berpengaruh kebelakangan ini menunjukkan perubahan ketara dalam budaya tadbir urus negara.

“Ia bukan untuk menakutkan sesiapa, tetapi untuk mengembalikan keyakinan bahawa sistem sedang berfungsi. Apabila siasatan berjalan tanpa mengira pangkat dan kedudukan, pencegahan berlaku secara semula jadi,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan rasuah yang mengaitkan seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Darat, Dr Mahathir berkata kebimbangan awam adalah wajar memandangkan jawatan itu memegang amanah besar terhadap keselamatan negara.

Menurut beliau, arahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin supaya individu berkenaan bercuti sementara siasatan dijalankan adalah langkah tepat dari sudut pentadbiran bagi memastikan siasatan berlangsung tanpa tekanan dan konflik kepentingan.

Namun katanya, bagi jawatan strategik dalam organisasi pemerintah tertinggi, penyerahan tugas secara rasmi adalah lebih wajar demi menjamin kelangsungan operasi institusi.

“Institusi mesti mengatasi personaliti.

“Negara ini tidak boleh bergantung kepada satu individu sahaja. Ramai pegawai berkelayakan dan berintegriti yang mampu meneruskan tugas,” katanya.

Justeru katanya, kejayaan reformasi kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terletak pada keberanian membiarkan institusi berfungsi secara bebas.

“Reformasi sebenar bukan pada pengumuman, tetapi apabila kuasa tidak melindungi sesiapa, sistem berjalan seperti sepatutnya dan kebertanggungjawaban dikenakan secara saksama. Di situlah keyakinan rakyat dibina semula,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat