Kebebasan suara makin disalah guna di media sosial – MKI

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Melihat kepada situasi terkini, medium kebebasan suara makin galak disalahgunakan khususnya di media sosial hingga tercetusnya ketegangan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian yang boleh mencetuskan perpecahan kaum serta menggugat perpaduan negara.

“Bagi mendepani perkara berkenaan, umat Islam adalah diharapkan dapat menjadikan platform di media sosial sebagai wadah terbaik dalam berbicara dan mengeluarkan pendapat mengikut lunas-lunas ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Nooh berkata, sebagai umat Islam, mengutamakan akhlak yang baik dalam setiap percakapan mahupun penulisan termasuk di dalam media sosial adalah satu tuntutan agama dan Islam adalah agama yang amat menitikberatkan perihal akhlak.

“Menggunakan kata-kata yang dapat menyakiti sesama umat Islam, kaum yang lain atau menimbulkan kebencian adalah bertentangan ajaran Islam yang amat menekankan kepada perpaduan dan hubungan saling hormat-menghormati.

“Kempen Kalimah Toyyibah yang digagaskan oleh kerajaan sebelum ini adalah bertepatan dengan situasi semasa dan masyarakat perlu mengamalkan budi bahasa yang sopan, santun dan berhemah dalam pergaulan,” katanya.

Beliau juga berkata, seluruh umat Islam di Malaysia dan kaum yang lain disaran supaya bersikap bersikap ikhlas, bertanggungjawab dan berhati-hati di dalam berbicara dalam mengeluarkan pandangan di media sosial.

“Umat Islam dan kaum yang lain seluruhnya serta tidak memudaratkan keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara kita yang diberkati ini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat