KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk berusaha memperkasakan golongan wanita.
Seri Paduka Baginda bertitah sedemikian pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Wanita Sedunia 2024 di sini, hari ini.
Baginda bertitah, golongan wanita terus diperkasakan agar penglibatan kumpulan ini lebih meluas bagi mencipta keunikan negara yang relevan untuk dunia.
“Dalam mengorak langkah ini, adalah penting untuk kita mempelajari amalan-amalan terbaik serata dunia dan mengadunkannya kepada konteks tempatan, di samping membangunkan penyelesaian inovatif kepada cabaran kita yang unik.
“Melalui kaedah ini, kita berharap dapat mencipta sebuah model pemerkasaan wanita yang unik kepada Malaysia, namun relevan secara global,” titah Raja Zarith Sofiah.
Titah Seri Paduka Baginda, Malaysia telah sekian lama mengiktiraf peranan dan sumbangan semua rakyat kepada kesejahteraan negara termasuk golongan wanita.
“Walaupun pelbagai kejayaan telah dikecapi untuk pemerkasaan wanita, kita menyedari cabaran masih wujud terutama dalam kalangan masyarakat yang terpinggir.
“Namun, kita komited untuk melihat tiada wanita yang ketinggalan dalam usaha ke arah matlamat ini,” titah Raja Permaisuri Agong.