‘Kebuluran Paksa Adalah Genosid’, Wanita PKR Kecam Kekejaman Israel

PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengeluarkan kenyataan tegas mengecam tindakan rejim Zionis Israel yang didakwa menggunakan kebuluran sebagai senjata perang terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Ketua Biro Kemanusiaan Wanita PKR, Nor Azmiza Mamat menyifatkannya sebagai satu bentuk genosid senyap yang disengajakan.

Menurut laporan terkini oleh UNRWA dan Program Makanan Sedunia (WFP), lebih 495,000 penduduk Gaza iaitu satu per empat daripada populasi kini berada dalam kategori Catastrophic Food Insecurity (IPC Fasa 5).

Malah, sembilan daripada 10 rakyat Gaza mengalami kekurangan makanan melampau dengan bayi dan kanak-kanak mati bukan kerana peluru tetapi kerana kelaparan.

“Ini bukan lagi krisis kemanusiaan, ini adalah genosid secara senyap dan sistematik,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Antara kesan paling tragik yang dilaporkan termasuk 70 peratus isi rumah tidak mendapat akses makanan mencukupi selama lebih 30 hari, peningkatan kes kegagalan organ, kematian bayi akibat kekurangan susu, air bersih dan nutrien serta serangan terhadap konvoi bantuan dan pemusnahan ladang serta loji air.

Wanita PKR turut menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan pembantaian ini sebagai ‘ujian terhadap maruah kemanusiaan global’.

“Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman yang berlaku di hadapan mata dunia,” katanya.

Oleh itu, kata Nor Azmiza, Wanita PKR menggariskan lima tuntutan utama iaitu gencatan senjata Hamas-Israel di Doha disegerakan, siasatan antarabangsa oleh PBB dan ICC terhadap penggunaan kebuluran sebagai senjata perang dan tekanan diplomatik terhadap negara yang bersekongkol atau berdiam diri.

Dua lagi katanya, ialah gerakan solidariti global khususnya pertubuhan wanita dan kemanusiaan serta peningkatan bantuan Malaysia untuk wanita dan kanak-kanak Gaza.

“Kebuluran paksa bukan sekadar penderitaan, ia adalah pembunuhan senyap. Ia adalah genosid,” ujarnya.

Tambah beliau, Wanita PKR berikrar untuk terus bersuara dan menentang kebisuan antarabangsa, menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan semua negara demi mengembalikan prinsip kemanusiaan sejagat yang telah dicabuli.

Anda Mungkin Berminat