Oleh: Tyah Helmi
WALAUPUN Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) menafikan sekeras-kerasnya kewujudan ‘Kempen Memburu Orang Kelantan’ di kawasannya, ianya menjadi fenomena baharu sehingga menjadi tular di media sosial.
Segalanya bermula dengan sebuah memo yang tidak disahkan kesahihan sumbernya yang menyatakan misi menangkap orang Kelantan dan akan diberi ganjaran sebanyak RM100 seorang per tangkapan berdasarkan ciri-ciri Kelantan asli mahupun hanya campuran darah negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Meskipun pada awalnya dilihat sebagai satu gurauan, kempen ‘memburu orang Kelantan’ telah menjangkiti dan tular di laman Tiktok terutamanya dalam kalangan orang muda dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Menerusi tinjauan Malaysia Bangkit, salah satu hantaran video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok bernama Dainuri dengan nada bergurau mengingatkan orang Kelantan supaya berhati-hati kerana mereka kini dikatakan menjadi sasaran ‘pemburuan’ oleh warga negeri lain.
“Orang Kelantan, hati-hati sebab saya orang Kelantan hampir ditangkap,” kata Dainuri dalam video tersebut, disambut dengan gelak ketawa di latar belakang.
“Kalau sebut ‘bau’ atau ‘klinik’ dengan loghat Kelantan, sah lah kamu orang Kelantan!” tambahnya lagi dalam nada bersahaja.
Sehinggakan ada yang sebulat suara mahu melindungi rakan taulan mereka yang merupakan rakyat Kelantan daripada diburu olok-olok oleh masyarakat di negeri lain walaupun dalam gaya yang bergurau.

Namun di sebaliknya, terdapat individu yang mula mengambil perhatian bahawa trend memburu orang Kelantan dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi dan menjatuhkan maruah bangsa di Kelantan.
“Ini bukan lawak, ini dah jadi stereotaip yang boleh bagi kesan buruk,” komen seorang pengguna Twitter.
“Tak patut buat macam ni, takut nanti ada orang akan fikir semua orang Kelantan ni sama je,” tambah seorang lagi.
Tidak lama selepas itu, MPP UUM menjelaskan dalam satu kenyataan rasmi bahawa mereka tidak pernah merancang atau terlibat dengan kempen ‘menangkap pelajar Kelantan’ yang tular tersebut.
“MPP UUM ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah merancang, meluluskan atau terlibat dalam apa jua kempen atau operasi yang mendiskriminasi mana-mana pelajar.
“Penggunaan nama kami dalam hantaran tersebut adalah satu tindakan tidak beretika dan kami menuntut pihak yang bertanggungjawab untuk memadamkan kandungan tersebut dengan segera,” tegas Presiden MPP UUM, Muhammad Faizal.

Perkara ini segera menarik perhatian ramai, terutama dalam kalangan pelajar, yang bimbang kempen ini akan memberi ruang kepada diskriminasi dan stereotaip berdasarkan asal usul negeri.
Walaupun mesej asal mungkin sekadar lawak, ada segelintir pihak yang melihatnya sebagai satu ancaman kepada keharmonian sosial, yang boleh memburukkan hubungan antara rakyat pelbagai negeri.
Sehubungan itu, gesaan mula timbul agar pihak berwajib mengambil tindakan tegas untuk menyiasat dan mencegah kejadian sebegini daripada berulang. Banyak yang berharap agar insiden sebegini tidak dinormalisasikan sebagai sesuatu yang boleh diterima hanya kerana ia ‘sekadar lawak.’
“Saya rasa kalau perkara macam ni dibiarkan, ia boleh menimbulkan perpecahan antara pelajar negeri-negeri lain. Apa yang pada awalnya hanya lawak, lama-lama boleh jadi serius,” kata Aishah, seorang pelajar tahun akhir di Universiti Malaya.
Bagi ramai, ini adalah satu pengajaran bahawa dalam dunia yang semakin terhubung ini, gurauan yang berlebihan boleh menjadi lebih daripada sekadar hiburan. Ia boleh mencetuskan perpecahan dan ketegangan yang memberi impak kepada keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan negeri.
Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, rata-ratanya terhibur dengan parodi tersebut dan menganggapnya sebagai satu hiburan. Tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
Baca juga:








