Kecurian Kabel Jejas Operasi Rel, Prasarana Desak Tindakan Menyeluruh

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menegaskan pihaknya memandang serius insiden kecurian kabel yang semakin kerap berlaku sehingga menjejaskan operasi perkhidmatan rel dan memberi kesan langsung kepada jutaan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.

Menurut syarikat itu, sepanjang tempoh 2023 hingga kini, kerugian akibat kecurian kabel dianggarkan mencecah RM20.6 juta, sekali gus mencerminkan trend peningkatan yang membimbangkan.

Selain kerugian kewangan, kecurian kabel turut menyebabkan gangguan perkhidmatan, kelewatan perjalanan dan menimbulkan risiko keselamatan kepada penumpang.

Data menunjukkan peningkatan ketara kes kecurian apabila sebanyak 41 kes direkodkan pada 2024, manakala 69 kes dicatatkan setakat 2025, iaitu peningkatan sebanyak 68 peratus yang didorong oleh nilai pasaran tembaga yang tinggi.

Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar berkata, isu itu bukan sekadar kerugian kewangan semata-mata.

“Setiap insiden menyebabkan tren tidak dapat beroperasi seperti biasa dan kerja pembaikan perlu dilakukan segera bagi memastikan sistem kritikal kembali berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan.

Idzqandar berkata, Prasarana telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan termasuk rondaan keselamatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemasangan CCTV berteknologi tinggi serta penggunaan anjing pengesan di beberapa laluan.

Namun, katanya, usaha itu memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua pihak.

Untuk rekod, kecurian kabel bukan sahaja menjejaskan operator rel tetapi juga syarikat telekomunikasi lain.

Justeru, Prasarana menyeru agar pendekatan nasional yang lebih tegas dilaksanakan termasuk kawal selia penjualan kabel dan hukuman lebih berat terhadap pesalah berulang.

Langkah itu, menurut syarikat itu, penting demi melindungi keselamatan penumpang serta memastikan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam negara terus terjamin.

Anda Mungkin Berminat